MAKLUMAT RINGKAS BIRO ANGKASA


SEJARAH PENUBUHAN ANGKASA

Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) adalah koperasi apex yang menaungi semua jenis koperasi asas, menengah dan atasan di seluruh negara. ANGKASA diiktiraf oleh Kerajaan sebagai badan yang mewakili Pergerakan Koperasi Malaysia pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa. 

ANGKASA telah diasaskan oleh Gerakan Koperasi di negara ini menerusi Kongres Koperasi Pertama pada tahun 1966 dan Kongres Koperasi Kedua pada tahun 1971. Ditubuh dan didaftarkan dengan rasminya pada 12 Mei 1971. ANGKASA ditadbir mengikut cara koperasi tetapi tidak bergiat dalam kegiatan perniagaan seperti koperasi-koperasi lain. Sebagai koperasi apex ianya memperjuangkan cita-cita serta hak kepentingan Gerakan Koperasi di negara ini.

 
OBJEKTIF PENUBUHAN ANGKASA
  • Menyatukan koperasi-koperasi di Malaysia supaya dapat menjaga dan memperjuangkan hak dan kepentingan pergerakan koperasi.
  • Mewakili pergerakan koperasi pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
  • Melaksanakan program pendidikan koperasi dan mengembangkan konsep dan prinsip-prinsip koperasi di kalangan rakyat Malaysia.
  • Mengadakan pelbagai kemudahan perkhidmatan yang termampu oleh ANGKASA bagi membantu perjalanan dan pentadbiran koperasi-koperasi ahli.

BORANG-BORANG BPA
Dalam sistem potongan gaji BPA ini, koperasi berhubung terus dengan BPA dalam semua perkara berkaitan potongan dan tidak lagi dengan majikan-majikan.
Tiga jenis borang sahaja yang digunakan iaitu (i) Borang BPA 1/79 ,(ii) Borang BPA 1/79A untuk penjamin dan (iii) Borang BPA 2/79 untuk perubahan.
Borang-borang perlu dilengkapkan dengan sempurna dan jelas.
 
1. Borang BPA 1/79
Borang ini ialah kebenaran bertulis daripada ahli untuk memotong gajinya. Terdapat empat bahagian dalam borang ini yang perlu dilengkapkan oleh anggota, koperasi dan pengesahan daripada Ketua Jabatan. Borang ini perlu disertakan dengan salinan slip gaji, salinan kad pengenalan serta borang had kelayakan peminjam.



2. Borang BPA 1/79A
Borang ini sama seperti 1/79 tetapi ianya diisi oleh penjamin.

3. Borang BPA 2/79
Borang ini digunakan bagi semua perubahan yang hendak dibuat kepada potongan yang sedang diuruskan seperti berikut :- 

(a) Menghentikan potongan
(b) Menambah atau mengurangkan ptongan.
(c) Bertukar pejabat
(d) Lain-lain perubahan

Borang-borang ini diisi dalam satu salinan sahaja dan dihantar ke BPA. 

Dalam sistem potongan gaji ini, nombor kad pengenalan dan nombor gaji ahli-ahli amat penting. Koperasi hendaklah memastikan nombor-nombor tersebut diisi dengan betul dan sebaik-baiknya, salinan Kad Pengenalan dan Slip Gaji disertakan bersama Borang BPA 1/79.
Borang-borang yang tidak lengkap atau salah diisi akan dikembalikan kepada Koperasi. Koperasi perlu ambil tindakan segera dan kembalikan borang-borang berkenaan kepada ANGKASA.



PANDUAN MENGISI BORANG POTONGAN GAJI BPA
Biro Perkhidmatan ANGKASA (BPA) telah menggunakan Sistem Pengurusan Dokumen dan Pemprosesan Borang yang berasaskan teknologi pengimejan bermula tahun 2000.
Sistem tersebut yang dinamakan 'AIMS' melibatkan beberapa perisian yang terkini dan menggunakan borang-borang baru yang berciri 'machine-friendly' bagi memudahkan program ICR (Intelligent Character Recognition) menterjemah tulisan tangan kepada bentuk digital yang difahami oleh perisian komputer.
Borang-borang berikut telah direka bentuk semula dengan format baru :
  • Borang 1/79 - Surat Pengakuan
  • Borang 2/79 - Borang Perubahan
  • Borang 1/79A - Surat Pengakuan Penjamin
Panduan ini bertujuan membantu pengguna BPA untuk melengkapkan borang-borang seperti dinyatakan di atas, dengan sempurna bagi mencapai produktiviti sistem secara lebih optimum.
Sila baca dengan teliti supaya pengisian maklumat dalam borang dibuat dengan betul dan lengkap. Cara pengisian borang yang lengkap dan tulisan yang bersih dapat menjamin pemprosesan maklumat dengan lebih cekap dan cepat oleh pihak Biro Perkhidmatan Angkasa.


POTONGAN GAJI ANGKASA
Maklumat-maklumat potongan gaji samada untuk mewujudkan atau meminda sesuatu rekod anggota adalah dengan mengisi salah satu dari 3 jenis borang berikut :-

i) Surat Pengakuan (BPA 1/79) Dan Surat Pengakuan Penjamin (1/79A)
  • Untuk mewujudkan rekod baru potongan gaji bagi seseorang anggota atau penjamin.
  • Untuk mewujudkan semula rekod potongan seseorang anggota yang telah tamat tempoh semua jenis potongan dan telah melebihi setahun.
ii) Borang Perubahan (BPA 2/79)
  • Untuk meminda perkara-perkara yang berkaitan dengan butir-butir peribadi anggota, dan butir-butir akaun anggota yang telah diwujudkan di ANGKASA sebelum ini.
Ketepatan maklumat-maklumat yang diisi dalam borang tersebut adalah sangat penting kerana sebarang kesilapan dan maklumat yang tidak lengkap boleh mengakibatkan diantara lain seperti berikut :-
  • Tuntutan dibuat kepada majikan yang salah.
  • Gaji kakitangan lain yang dipotong.
  • Koperasi (Pelanggan) tidak akan mendapat bayaran kutipan.
  • Tuntutan amaun yang salah, samada terlebih atau terkurang.
  • Potongan gaji tidak akan diberhentikan mengikut jadual dan tuntutan potongan gaji ANGKASA akan berlarutan.
 
GARIS PANDUAN PENTING
  • Sila baca Panduan Mengisi Borang sebelum menulis pada borang. Nota ringkas mengenai cara pengisian borang ada dicetak pada muka hadapan borang.
  • Sila gunakan pena mata bulat (ball point) yang berdakwat hitam.
  • Sila tulis dengan huruf besar dan tulisan mestilah jelas dan mudah dibaca.
  • Tuliskan setiap huruf atau nombor dalam satu petak. Jangan melangkaui batas petak huruf yang disediakan pada borang.
  • Sila tandakan pada kotak 'Awam' dengan jelas bagi orang awam yang memiliki kad pengenalan biasa. Jangan tanda pada lebih dari satu kotak pilihan.
  • Bagi anggota pasukan keselamatan, sila tandakan kotak 'Polis' atau 'Tentera' dengan jelas. Jangan tanda pada lebih dari satu kotak pilihan.
  • Pembetulan pada borang dengan menggunakan 'liquid paper' adalah tidak dibenarkan kerana boleh merosakkan alat pengimbas.
  • Jangan melipat borang. Borang yang kotor menyukarkan proses mengimbas dijalankan dengan dengan baik.
  • Gunakan borang yang diperakui oleh BPA sahaja. Penggunaan borang BPA yang difotostat tidak akan diterima oleh Biro Perkhidmatan Angkasa

Nota ini bertujuan untuk memberi panduan mengisi borang-borang yang telah disebutkan di atas supaya kerumitan dapat dielakkan.
 


BAYARAN PERKHIDMATAN
Untuk menampung kos pengurusannya, ANGKASA mengenakan bayaran perkhidmatan berdasarkan jumlah potongan yang diuruskan atas kadar berikut :-

(a) Koperasi anggota ANGKASA - 0.6%
(b) Koperasi bukan anggota ANGKASA - 1.00%

Bagi koperasi yang menggunakan Institusi/Syarikat Kewangan tambahan 1% akan dikenakan.
Bagi badan-badan lain yang bukan koperasi, bayaran perkhidmatan yang dikenakan ialah dari 1.00% hingga 2.00%.

Maklumat lanjut boleh didapati di laman web http://www.angkasa.coop/